anilin8185 menulis " Petang itu Malek balik kerja lebih awal daripada biasa. Sampai rumah, Malek Marzoki nama sebenarnya beumur 20 tahun, terus mandi dan bersiap-siap untuk keluar. Maklumlah, 13 Februari, jadi malam ini tentu semua orang yang sedang bercinta seperti dirinya akan menyambut Valentine's Day dengan orang tersayang. Tambahan pula ini adalah cinta pertamanya.
Hari ini Malek berasa terlalu bahagia. Jarum jam terasa begitu lambat berputar. Malek tidak sabar lagi hendak bertemu Linda, kekasih yang baru sebulan dikenalinya. Malek mengenali Linda pun melalui 'chatting' di Internet.
Sejak itu selalulah mereka bergayut di telefon, menghantar gambar melalui e-mel, cuma keluar bersama saja belum kerana tidak bersekempatan. Tapi tanpa disangka, pelawaan ajak-ajak ayam Malek semalam berbaloi.
Mulanya Malek hanya main-main saja, tetapi tidak sangka pula Linda
serius. Bak orang mengantuk disorongkan bantal, Malek tidak akan
lepaskan peluang tersebut. Itulah yang membuatkan semalaman Malek tidak
lena tidur kerana tidak sabar lagi hendak menunggu malam ini.
Akhirnya
saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Linda kini berada di depan mata.
Memang cantik, jauh lebih cantik daripada gambar yang pernah Malek
lihat sebelum ini. Malek memberikan Linda sekuntum Ros Merah kepadanya.
Malek
berharap, sekurang-kurang biarlah Linda tahu yang dia tidaklah kolot
sangat, walaupun seumur hidup Malek tidak pernah melakukannya.
Maklumlah, Malek bekas pelajar sekolah agama, sembahyang tidak pernah
lalai. Kalau kawan-kawan serumah Malek tahu, memang mereka semua akan
terkejut.
Setelah menjamu selera dan menonton
wayang, Malek tidak tahu apa lagi yang hendak dibualkan. Hari sudah
lewat malam, sejuknya mula terasa. Pada ketika itulah, tiba-tiba timbul
niat jahat di hati Malek. Dia cuba menepisnya, tapi darah muda sudah
menguasai fikirannya.
Malek berasa rugi pula
sekiranya dia menghantar Linda pulang. Lagipun, Linda kelihatan begitu
manja dengannya. Senyuman Linda, lirikan mata serta lentok tubuhnya
seperti memberitahu dia masih ingin terus bersama Malek. Dia ingin
menghabiskan malam Valentine's ini bersama sang kekasihnya.
Seluruh
badan Malek terasa bahang. Suatu perasaan panas bagaikan menggeletar
dalam urat sarafnya.Cerita-cerita biru yang didengarnya daripada
Rahman, kawan serumahnya tentang hubungan asmara dia dengan teman-teman
wanitanya, terngiang-ngiang semula di telinga Malek.
Bukan
itu saja, Rahman turut menceritakan bagaimana mudahnya dia
memperdayakan gadis-gadis, baik yang berpelajaran rendah mahupun
penuntut IPT, hingga akhirnya mereka serahkan segala-galanya. Setelah
itu, Rahman ceritakan pula taktik-taktik bagaimana hendak meninggalkan
gadis-gadis tersebut. Memang ketika mendengar itu malek marah dengan
perbuatan Rahman kerana merosakkan gadis-gadis tersebut, tapi malam
ini...?
Malek ingat pada dosa, tetapi dia
tidak mahu melepaskan keseronokan ini. Dia tidak pernah melalui saat
berdua-duaan bersama sang gadis seperti ini. Strategi-strategi yang
pernah diceritakan oleh Rahman, bermain-main semula di fikirannya.
Tapi...patutkah dilakukannya kepada Linda?
Malek
menggigil. Malek teringat pengajian agamanya selama enam tahun di
sekolah agama dahulu. Malek masih belum lupa lagi pada firman Allah
dalam surah Al-Furqan, ayat 68 yang bermaksud, "Barang
siapa melakukan demikian (syirik, membunuh jiwa tanpa hak dan berzina)
ia akan diseksa berlipat ganda di akhirat dan dikekalkan azab ke
atasnya dalam keadaan amat hina sekali." Begitu juga, bagai terngiang-ngiang lagi suara ustaznya membacakan hadis Nabi yang maksudnya, "Barang
siapa berzina atau minum arak, maka Allah mencabut iman dari dadanya
seperti orang menanggalkan pakaiannya daripada badan."
Tapi gelodak jiwa mudanya bagaikan api yang sedang marak...
Hendak
buat atau tidak? Malek di persimpangan. Ahh, alang-alang mandi biar
terus basah. Sekali ini saja. Nanti aku taubatlah, Malek berkata di
dalam hati. Linda pula Malek tengok seperti tidak kisah saja bila dia
mengusap-usap tangannya. Malah Linda ketawa pula bila lihat muka Malek
pucat dan jeri-jemarinya menggigil.
Malek rasa
tercabar. Malek terfikir, kalau dia lakukan lebih daripada itu pun,
mesti Linda tidak kisah. Antara takut kerana teringatkan ilmu agama
yang dipelajarinya serta hangatnya cerita-cerita asmara yang
diceritakan oleh Rahman dan kawan-kawannya, Malek pilih yang kedua.
Lantas Malek terus mengajak Linda bermalam di rumahnya. Malam ini malam
Valentine's, kata Malek. Linda tanpa banyak soal, terus setuju.
Sampai
di rumahnya, Malek lihat suasana sunyi sepi. Gelap. Tiada seorang pun
kawannya di rumah. Rahman? Ah, dia tentu saja sedang bermalam dengan
gadis yang baru diperdayakannya. Malek tidak mahu lepaskan peluang ini!
Televisyen dibuka, Malek susun strategi yang pernah diceritakan
padanya. Malek tidak mahu gelojoh, nanti malu pula pada Linda. Walaupun
nampaknya Linda seperti gadis yang boleh ditinggal-tinggalkan, tapi
Malek tidak mahu terburu-buru.
Malam itu,
zahirnya mata Malek terpaku di kaca TV, tapi hakikatnya otak Malek
sedang menyerewang jauh. Linda pula bukan main manja lagi, sambil
menonton kepalanya dilentokkan ke bahu Malek. Apabila sudah mendapat
lampu hijau, Malek tidak mahu berdiam diri. Dengan penuh kelelakian.
Malek merangkul bahu Linda lalu direbahkan ke ribanya. Dia sudah
membayangkan 'sesuatu' yang akan berlaku malam ini, dan....
TOK! TOK!! TOKKK!!! TOK! TOK!! TOK!!!
Tiba-tiba
pintu rumah diketuk dengan kuat. Malek kelam-kabut. Linda yang tadi
berbaring di ribaannya, bingkas bangun membetulkan pakaian. Malek terus
memperlahankan suara TV untuk memastikan apa yang didengarnya tadi
bukanlah sekadar khayalan atau mimpi.
ASSALAMUALAIKUM! ASSALAMUALAIKUMM!!
Kedengaran
pula suara orang memberi salam dari luar. Malek panik. Kalau hendah
dikatakan kawan serumahnya balik, mustahil kerana setahu Malek mereka
semua ada kunci sendiri. Masuk saja, tidak perlu beri salam. Malek mula
tidak tentu arah. Muka Linda berpeluh dan pucat lesi.
"Waalaikumsalam...siapa tu?" jawab Malek memberanikan diri.
"Ini JAIS...boleh tolong buka pintu tak?" jawab suara dari luar.
JAIS???
Apabila terdengar saja jawapan itu, seluruh anggota badan Malek menjadi
lemah longlai. Terus Malek terbayangkan wajah ibu bapa dan
adik-beradiknya dikampung. Dia juga terbayangkan guru-guru agamanya,
solatnya, kitab suci yang selalu dibacanya.
"Habislah aku malam ini," Malek berasa hendak menangis.
Macam-macam
perkara bersilih ganti datang dalam fikiran Malek. Selepas ini sudah
tentu dia kena naik mahkamah. Silap-silap, masuk surat khabar pula. Ya
Allah, kalaulah semua orang tahu perkara ini, manalah Malek hendak
letak mukanya. Malu, maluuu!! Tiba-tiba timbul rasa menyesal, kalaulah
Malek ingat pada agama, solat dan dosa, sumpah dia takkan bawa Linda
balik kerumah.
"JAIS ni! Cepatlah buka pintu ni..!!" suara di luar makin keras.
Linda
mula menangis teresak-esak. Linda teringatkan kawan-kawan seasramanya
di IPTA. Malek kena lakukan sesuatu untuk menangani masalah ini.
Tiba-tiba Malek mendapat satu idea. Pantas dia menarik tangan Linda
menuju ke belakang. Malek membuka pintu dapur.
"You
lari terus ikut semak tu, sampai you jumpa jalan besar, ambik cab,
terus balik rumah. Esok I call you, okey," kata Malek tergagap-gagap.
Tanpa
banyak soal, Linda berlari dengan lajunya meredah semak-samun di
belakang rumah Malek tanpa memakai kasut. Setelah Linda hilang dari
pandangan, Malek memberanikan diri membuka pintu. Alangkah terkejutnya
Malek bila terpandang seorang lelaki dengan jaket hitam berdiri di luar.
"Err..encik ke yang ketuk pintu ni tadi? Err..errr..encik ni siapa?" tanya Malek terketar-ketar...
"Haah..lama
saya ketuk tadi. Ingatkan abang kat toilet. Nama saya Jais, kawan
kepada Rahman, budak serumah abang. Rahman ada kat rumah tak?" tanya
pemuda itu semula pada Malek.
"Err...siapa nama kau tadi?" tanya Malek sekali lagi.
"Jais. Jais bin Md. Sood. Kenapa bang?"
"Err...takde apa-apa," jawab Malek perlahan.
Waktu
itu malek rasa macam nak cekik-cekik saja leher pemuda bernama Jais
itu. Dia ingatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), rupa-rupanya...
Moral ceritanya...
Janganlah
terpedaya dengan hasutan kawan-kawan yang ajak melakukan maksiat,
supaya anda tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang rosak
seperti mereka. Takutlah pada dosa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada pelaku maksiat. Kalau cita-cita anda hendak melakukan maksiat tiba-tiba terkantoi, bersyukurlah kerana itu bermakna Allah masih sayangkan anda.
(klau ada pembaca yang kurang senang terhadap cerita ini.maaflah ye..)
Note: Gambar Sekadar Hiasan "
|