anilin8185 menulis " **********
"Kenapalah tunjukkan sangat muka empat belas abang tu pada mak. Dia tak tahu bang," Murni berusaha menentang muka suaminya bila di biliknya.
"Ya...mak tak tahu. Tapi belanja nak tanam rumput itu semua bagaimana? Ganti pokok ketapang tu bagaimana? Ambil mudah saja...siapa nak ganti?" tanya Jamal menduga. Murni mencebik.
"Pasal tu semua bukan main berkira lagi. Saya...saya anaknya ni yang akan menggantikan," sambut Murni dengan suara yang keras. Terusik hatinya dengan sikap suaminya yang penting dan berkira-kira sangat tu. Apakah itu sikap seorang perancang ekonomi yang tidak boleh dielakkan. Berkira dalam segala hal?
Petang itu ibu dibawanya juga bersiar-siar melihat keindahan kota. Tapi nyatalah orang tua itu tidak terhibur dengan hidup yang serba tidak kena itu.
"Bulan ini bagi mak seratus ringgit saja. Bagi banyak-banyak pun dia bukan tahu belanja. Padinya ada, sayurnya ada di kebun. Telurnya tak habis dimakan." Kata Jamal bila melihat Murni menulis surat untuk ibunya di kampung.
"Hem...kalau fasal duit nombor satu. Pandailah Murni berkira. Tak cukup lagikah gaji abang tu?" sindirnya.
"Bukan tak cukup. Tapi saja nak mengajar kau yang tak tahu gunakan wang. Kirim mak di kampung sampai lima ratus ringgit tu kan terlalu banyak. Cukuplah seratus ringgit sebulan," pujuknya. Murni mencebikkan bibir.
Jemu dia mendengar cakap-cakap begitu. Tanggungjawabnya pada ibu belum dilalaikan lagi. Kiriman itu selalu meskipun ibu tidak meminta, apa lagi menagih kepadanya.
Satu hari Murni dan Jamal terkejut bila menerima surat dari ibu. Surat itu menyuruh Murni balik ke kampung segera.
Apa mustahaknya ibu menyuruh ia pulang segera. Sakitkah? Ada kenduri kendarakah?
"Apa mustahaknya ni???" Murni bertanya berkali-kali.
"Ah, nak minta bantu wang ringgit awaklah tu! Entah apa-apalah yang menimpanya," sahut Jamal sambil lewa.
"Abang tu selalu fikir yang buruk-buruk saja." Sanggahnya.
"Kalau surat dari kampung sampai selalunya begitulah..." sambungnya dengan nada mengejek. Radangnya hati Murni diperli-perli begitu.
**********
"Ada apa mak menyuruh Murni balik ni?" tanya Murni kehairanan kerana dilihat ibunya sihat-sihat saja tidak sakit. Wajahnya riang saja menyambut anak dan menantunya.
"Tak ada apa-apa. Cuma aku perlukan kau. Cap jari kau tu," jelas Jemah sambil tersenyum.
Murni dan Jamal berpandangan. Mereka tertanya-tanya sendiri.
"Nak buat apa dengan cap jari Murni, mak?" soalnya sambil merenung muka ibu yang sudah uzur itu.
"Aku nak menyalin nama tanah untuk kau," tambah ibu.
"Tanah mana?"
"Tanah aku baru beli."
"Tanah siapa yang mak beli," ia semakin banyak bertanya.
"Long Kasah kau nak pindah ke Ulu Beting buka tanah baru. Tanah tapak rumahnya tu dijual pada aku. Jadi sebelum dia pindah eloklah ditukar nama." Ibu menjelaskan kedudukan yang sebenar.
Murni terkedu seketika. Hatinya terharu dengan berita yang didengarnya itu. Begitu sekali ingatan ibu kepadanya.
"Mak! Kenapalah mak susah-susah kerana Murni. Mana mak dapat duit sampai boleh membeli tanah ni?" tanya Murni terharu. Jamal juga sama terkejut. Tapi ia tidak bersuara apa-apa.
"Wang yang kau kirim bulan-bulan tu aku kumpul. Campur sikit duit jual telur. Duit jual padi yang tak habis dimakan."
"O...mak," Murni memeluk ibunya. Dan tanpa disedari air matanya sudah mengalir ke pipi. Ia sangat terharu mendengar kata-kata itu.
"Duit yang Murni kirim tu untuk makan minum mak. Bukan untuk membeli tanah," katanya tersedu-sedu.
"Ah, makan minum aku apalah sangat. Padi aku ada. Ikan aku ada di kolam. Sayur mayur ada di ladang. Tak habis makan Murni." Jawab ibu dengan suara yang merendah menusuk tangkai jantung Murni.
Jamal terpegun seketika mendengar patah-patah yang keluar dari mulut ibu yang begitu ikhlas.
"Mak kau ni orang miskin. Tak ada sawah ladang yang luas untuk jadi harta pusaka kau. Itulah saja yang dapat mak beri untuk hari tuamu, Murni, Jamal." Nada suaranya semakin perlahan.
Murni terus menangis. Hiba hatinya mendengar ibu berkata begitu. Jamal sama terusik. Ia menundukkan kepala. Teringat akan dirinya sendiri. Ia seorang perancang ekonomi, tapi tidak pernah berfikir mahu merancang masa tuanya. Gajinya dan gaji Murni dicampur hampir 10 ribu. Rumahnya besar tapi masih disewa.
Keretanya juga besar tapi belum habis dibayar. Perabot rumahnya mahal-mahal tapi hutang. Terkaku ia sebentar. Tidak terangkat mukanya dari merenung lantai rumah pusaka itu. Malu rasanya hendak menentang muka ibu mertuanya. Bila ibu sudah ke sawah baru ia berani bersuara.
"Pandai juga ibu merancangkan masa depan kita ya Murni?" ia tersenyum simpul.
"Ah...apalah sangat dengan mak tu! Orang kampung tak sekolah. Tak tahu gunakan wang. Takkan sama dengan kepintaran seorang ahli ekonomi seperti abang," sindir Murni dengan suara yang lantang.
Rasa nak tanggal telinga Jamal mendengar sindiran yang berbisa itu, matanya terkebil-kebil tidak terkata....Hidungnya dipentung tepat-tepat. Namun begitu hatinya senang kini...
Tamat..... "
|