IkaShaZReeN menulis "
Bahang sambutan ‘Idilfitri masih terasa. Dalam usaha meningkatkan
amalan berterusan selepas Ramadhan, umat Islam sangat dianjurkan untuk
terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari sahaja, yang dikenali
sebagai puasa enam.
Bagi mereka yang ingin memulakan puasa enam pada 2 Syawal 1426H
secara berterusan, hari itu adalah ‘Hari Raya’ kedua bagi mereka, namun
bagi yang belum memulakannya, masih belum terlewat melaksanakan amalan
sunat itu selagi kita masih lagi berada di dalam bulan Syawal.
Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk
mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai
tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan
lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa.
Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk
menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan
dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.
Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana
hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang
seli. Namun, afdhalnya ialah pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula
secara berterusan sehingga hariraya ketujuh.
Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah
hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang
bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan
puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa
sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti
pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa
sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.
Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman
amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang
berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.
Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan
berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah
sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita
yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi
peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping
mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau
sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir
menjelang pada tahun akan datang.
Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika
mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam
Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW,
bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan
(puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya)
sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa
selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu
Hibban)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
“Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada
Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat
Al-Bazzar).
Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu
tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10
kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya:
Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh;
Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan
berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara
ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan
(dilengkapi) dengan perbuatan sunat.
Seperti keterangan Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat, majoriti
puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan
ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan
menyempurnakannya.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.
Segala amalan yang dikerjakan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT pada Ramadhan tidak akan terputus dengan
berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama dia masih hidup.
Note: Gambar Sekadar Hiasan.. "
|